Sejarah Bandar Alor Gajah

Nama Alor Gajah berpunca daripada tabiat sekumpulan gajah liar yang kononnya diketuai oleh seekor gajah putih. Gajah berkenaan dilihat sangat gemar berjalan secara berkumpulan menurut alur sebatang sungai yang terdapat di bandar ini. Atas keadaan itu penduduk tempatan menamakan bandar ini sebagai Alor Gajah.

Alor Gajah pada mulanya didiami oleh orang Minangkabau pada kurun ke-12. Apabila berlaku penghijrahan beramai-ramai penduduk Minangkabau di Tampin pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka maka wujudlah pemerintahan Melayu di Bandar Alor Gajah.

Semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu seorang pegawai British telah ditempatkan di Alor Gajah bagi mengutip hasil. Sesuai dengan peranan dan tanggungjawab tersebut, Pejabat Daerah telah ditubuhkan agar perlaksanaan tugas dapat dijalankan dengan sempurna. Alor Gajah juga terkenal dengan pahlawan Naning iaitu Dato' Dol Said yang menentang British di dalam Perang Naning pada tahun 1832 adalah dari sebuah kawasan hutan yang dipercayai menjadi laluan gajah-gajah liar.

Selain itu, Alor Gajah juga pernah mempunyai landasan kereta api dari Pulau Sebang terus ke Bandaraya Melaka (melalui Alor Gajah) tetapi telah ditutup semasa pendudukan Jepun 1942.Stesen Kereta Api Pulau Sebang yang dibuka pada tahun 1905 masih lagi beroperasi pada masa kini yang lebih dikenali dengan nama stesen Kereta Api Tampin/Pulau Sebang. Pihak KTMB sedang merancang untuk membina semula laluan kereta api hingga ke Bandaraya Melaka dari Pulau Sebang. Jika diluluskan projek itu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Daerah Alor Gajah juga turut terlibat Projek Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik yang sedang giat dilaksanakan sekarang antara Seremban ke Gemas. Lokasi stesen KTMB Pulau Sebang sekarang akan dipindahkan beberapa meter ke arah selatan dari stesen sedia ada. Apabila stesen KTMB Pulau Sebang siap pada tahun 2012 turut dilengkapi dengan Perhentian Bas dan Teksi Pulau Sebang. Hal ini kelak menjadikan Pulau Sebang mempunyai sistem pengangkutan yang bersepadu yang melibatkan kereta api bas dan teksi. Secara tidak langsung Projek Sebang Sentral yang pernah diuar-uarkan menjadi kenyataan. Potensi Bandar Pulau Sebang akan bertambah maju. Limpahan pembangunan bukan sahaja akan berlaku di Bandar Alor Gajah tetapi turut dirasai dengan lain-lain kawasan yang berhampiran. 

"Sumber dari wikipedia"

 

Sejarah Taboh Naning

Naning ialah suatu kawasan di Melaka, Malaysia. Bagaimanapun, ia merupakan salah satu negeri asal yang membentuk persekutuan Negeri Sembilan pada abad yang ke-16. Naning mula diteroka oleh orang Minangkabau yang berhijrah daripada Sumatera pada abad yang ke-13. Naning mengamalkan Adat Perpatih dan diperintah oleh seorang Penghulu yang dikenali sebagai Undang.Nama Naning dikatakan diambil bersempena satu sarang Naning (binatang penyengat yang bisa) bercorak kuning terus yang ditemui di atas pulau tiga buah sejanjar yang dikenali sebagai Pulau Galang Tiga Sejanjar yang terletak di sebuah paya di Taboh

Naning telah jatuh ke tangan Syarikat Hindia Timur Inggeris pada bulan Jun 1832 apabila Taboh telah ditawan dan pasukan di bawah pimpinan Undang Naning ke-9, Dato' Abdul Said bin Omar @ Dol Said telah berundur setelah berlaku beberapa pertempuran dengan pihak Inggeris selama lebih kurang 2 bulan. Setelah itu Naning pun dimasukkan di bawah pentadbiran wilayah Melaka pada tahun 1833.

 Undang Naning

Jawatan Penghulu atau Undang Naning dikatakan mula diwujudkan setelah Melaka diambil alih oleh Belanda daripadaPortugis pada tahun 1641 dan Naning dikira termasuk didalam pengaruh Belanda. Jawatan tersebut diwujudkan diatas cadangan pihak Belanda dan dipilih oleh penduduk Naning.

"Sumber dari wikipedia"